Sunday, May 3, 2009

Liku-Liku Kehidupan / Bab 3

Dari Tawau, berpindah pula ke Pejabat Polis Kepayan,
Keluarga semakin bertambah,
Dengan kelahiran 4 lagi puteri-puteri,
Dan seorang putera.

Di usia perkahwinan 19 tahun,
Cabaran demi cabaran sabar ditempuhi,
Membesarkan 10 orang anak-anak,
8 perempuan dan 2 lelaki,
Pasangan gigih berusaha,
Mempastikan anak-anak berjaya,
Menjalani kehidupan bahagia,
Juga mendapat pendidikan sempurna.

Si isteri membantu sama,
Meningkatkan ekonomi keluarga,
Berbekalkan bakat seni yang diwarisi,
Upah menjahit juga menyulam,
Menyediakan jamuan juga hidangan,
Mengambil upah mendobi pakaian,
Kuih muih jadi jualan,
Anak-anak membantu sama,
Menjual kuih muih di sekolah.

Dalam kesibukan berusaha,
Si suami sentiasa mempastikan,
Anak-anak diberi ilmu agama,
Disamping mengaji Al-Quran,
Sudah menjadi rutin harian,
Sebelum masuk waktu solat Maghrib,
Makan malam dinikmati keluarga.

Di tahun 1964, si suami lagi ditukarkan,
Dari Kepayan ke Pejabat Polis Sandakan,
Menjelang 20 tahun usia perkahwinan,
Seorang lagi puteri dilahirkan,
Di masa proses melahirkan,
Si isteri bertarung nyawa, darah keluar tidak berhenti,
Tumpah darah, bahasa kami.

Si suami menangis memohon doa,
Selamatkan lah isteri tercinta,
Allah pencipta alam melihat semuanya,
Mendengar rintihan dan doa,
Syukur Alhamdulillah,
Ibu dan bayi selamat akhirnya,
Anak ke sebelas, Mastia namanya.